Monday, 28 March 2011

Cerpen Kasut Kelopak Jantung

Cerpen Kasut Kelopak Jantung

Sinopsis
Pada setiap kali tiba tarikh 16 Mei, Cikgu Harun pasti menerima bungkusan hadiah yang telah diduga  kandungannya. Hadiah sepasang kasut yang mahal dan berjenama yang di terima pada Hari Guru itu menyebabkan Cikgu Harun teringat akan zaman awal-awal menjadi pendidik di sebuah kampung di kawasan pedalaman.
            Pada suatu pagi, kesabarannya diuji oleh seorang murid yang bernama Ahmad kerana tidak memakai kasut ketika berada di sekolah. Kemarahan Cikgu Harun memuncak apabila ahmad tidak memakai kasut ketika bersenam. Cikgu Harun yang hilang kesabarannya itu mengambil kelopak jantung pisang yang gugur di tepi pagar lalu mengarahkan Ahmad memakainya dan mengikatnya dengan tali rafia yang diambil oleh Ahmad dari kantin. Cikgu Harun juga berpesan kepada Ahmad supaya  tidak menanggalkan kasut itu sehinggalah dia membeli kasut sekolah. Walaupun Ahmad berasa malu diejek oleh kawan-kawan dan berasa kurang selesa, dia tetap  memakainya menurut perintah Cikgu Harun. Sejak hari itu, Ahmad tidak bersekolah. Cikgu Harun berasa insaf atas tindakannya. Oleh sebab berasa bersalah, Cikgu Harun ke rumah Ahmad. Cikgu Harun disambut oleh ibu Ahmad. Ahmad tiada di rumah kerana mengambil upah memetik cili di kebun sayur. Tidak beberapa lama kemudian, Cikgu Harun ternampak akan kelibat Ahmad di belakang rumah. Dia menangis kerana kasut kelopak jantung masih terlekat pada kaki Ahmad. Cikgu Harun bergegas ke pekan berdekatan untuk membeli sepasang pakaian sekolah dan sepasang kasut. Cikgu Harun meyerahkan baju dan kasut sekolah itu kepada Ahmad dan berpesan kepada Ahmad supaya ke sekolah semula.
            Selepas 30 tahun bersara sebagai pendidik, anak muridnya Ahmad tetap menghadiahkan Cikgu Harun sepasang kasut baharu. Ahmad sering menyatakan bahawa keikhlasannya mengenang jasa Cikgu Harun yang mendidiknya menjadi seorang insan yang berjasa. Kini, Ahmad memegang jawatan pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka di bandar.

Tema
Tema cerpen ini ialah tanggungjawab seorang guru terhadap muridnya dan kesusahan hidup murid-murid di kawasan pedalaman dalam menempuh alam persekolahan.

Persoalan
1)      Seorang murid perlu mematuhi arahan guru.

2)      Kesusahan hidup masyarakat di kawasan pedalaman.

3)      Menghargai jasa-jasa guru

4)      Keprihatinan seorang guru terhadap kesusahan muridnya.

5)      Kesusahan hidup bukanlah halangan untuk menuntut ilmu. 
      
      Nilai



1)      Baik hati
Cikgu Harun membelikan Ahmad sepasang kasut dan juga baju sekolah.

2)      Kesungguhan
Ahmad belajar dan bekerja dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya.

3)      Mengenang jasa
Ahmad membalas jasa Cikgu Harun dengan menghadiahkan sepasang kasut pada setiap sambutan Hari Guru.

4)      Berdikari
Ahmad mengambil upah memetik cili di kebun sayur untuk membantu keluarga.

5)      Ketaatan
Ahmad mentaati perintah Cikgu Harun supaya memakai kasut kelopak jantung itu sehingga dia membeli kasut sekolah.


(sumber: Komsas Antologi Kasut Kelopak Jantung Tingkatan 1)

Perbincangan
1)      Huraikan persoalan-persoalan yang terdapat dalam cerpen “ Kasut Kelopak Jantung” berserta contohnya sekali.

2)      Huraikan secara terperinci mengenai watak dan perwatakan Cikgu Harun dan Ahmad dengan memberikan contoh  sesuai yang terdapat dalam cerpen Kasut Kelopak Jantung.

3)      Bina lima pengajaran berdasarkan nilai-nilai yang telah diberikan.

No comments:

Post a Comment